Sejak minggu lalu hangat diperkatakan mengenai pengasas Hot Burger Malaysia, Asri Janggut susulan pendedahannya mengenai premis judi haram di Sungai Buloh.
Bagaimanapun, dalam temubual bersama Harian Metro pada 10 Ogos yang lalu, Asri mendakwa pendedahannya itu tidak disenangi oleh ‘ayahanda’ di kawasan berkenaan.
Malah, Asri mendakwa individu berkenaan yang mengaku sebagai ‘ayahanda’ kawasan itu turut menghubunginya melalui panggilan telefon.
Difahmkan, baru-baru ini Facebook Hot Burger Malaysia memuat naik gambar berserta permohonaan maaf Asri Janggut kepada ‘ayahanda’ Sungai Buloh yang dipanggil Ayahanda Lee Tiger.
Susulan permohonan maaf secara terbuka itu, di ruangan komen entri tersebut dihujani dengan komen netizen yang tertanya-tanya apa peranan ‘ayahanda’ kepada masyarakat.
Malah, ramai yang mempersoalkan bagaimana jawatan ‘ayahanda’ itu dipilih dan apa fungsi serta bidang kuasa ‘Ayahanda’ itu.
Awal Januari lalu, menerusi video YouTube Air Times News Majlis Perundingan Ayahanda Malaysia (MPAM) menegaskan gelaran ‘Ayahanda’ adalah lambang kesatuan budaya Melayu dan bukan kongsi gelap.
“Sesebuah persatuan atau pertubuhan yang hendak didaftarkan adalah tertakluk kepada undang-undang tubuh serta Perlembagaan Pejabat Pendaftaran Negara (ROS) dan perlu melalui tapisan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),
“Oleh itu, tiada sebab nak sabitkan bahawa golongan Ayahanda dikaitkan dengan kongsi gelap,” tegas Ketua Sekretariat Majlis Perundingan Ayahanda Malaysia (MPAM), Yahya Long Ali atau dikenali Ayahanda Pak Ya.
Bagaimanapun, setakat ini masih tiada penjelasan mengenai peranan ‘ayahanda’ yang dikongsikan kepada umum.
SUMBER: Vocket