MP PAS Harap Suatu Hari Nanti Tiada Lagi Industri Arak Di Malaysia

0
1622

Umum mengetahui sejak kebelakangan ini semakin banyak kes kemalangan dilaporkan berlaku disebabkan oleh pemandu mabuk sehingga meragut banyak nyawa.

Susulan itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berharap agar industri arak dihapuskan dari negara ini suatu hari nanti.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan rang undang-undang untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Dewan Rakyat sebentar tadi.

“Kita harap industri arak pada akhirnya tidak ada dalam negara kita. Ia mungkin perlu melalui proses pendidikan yang secara beransur-ansur, agar rakyat lihat arak bukan keperluan dalam hidup mereka.

“Rakyat perlu diberi kefahaman yang minuman keras bukan sebahagian daripada norma kehidupan kita,” katanya.

Fadhli berkata, jika tiada lagi minuman beralkohol, ia akan menyelesaikan isu pemanduan mabuk tanpa perlu memperkenalkan undang-undang keras seperti dalam pindaan itu.

Berhubung langkah sementara, beliau mencadangkan untuk mengehadkan agar tempat letak kereta di sekitar bar bagi mengelakkan orang ramai memandu ke sana, sebaliknya menggunakan pengangkutan awam atau e-hailing.

SUMBER: MalaysiaKini