Muka Bakal Isteri Penuh Luka Akibat Kemalangan, Pemuda Dipuji Tetap Teruskan Nikah

Setiap pasangan yang sudah bertunang pasti impikan hubungan yang dibina kekal hingga ke jinjang pelamin, apatah lagi tinggal satu fasa sahaja lagi untuk menuju ke arah itu.

Namun, bukan mudah menempuh ujian dalam pertunangan seperti yang dihadapi oleh pasangan ini yang tinggal 4 hari bakal melangsungkan pernikahan namun pengantin perempuan terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Akibat dari kemalangan itu, pengantin perempuan,Nur Alifah Mahirah Burkhari, 20 mengalami kecederaan di wajahnya serta luka teruk.

Bagaimanapun, tindakan bakal suaminya, Ahmad Fakhrullah Mat Zaki, 22 dipuji netizen apabila tetap meneruskan majlis pernikahan.

Memetik laporan Harian Metro, Fakrullah berkata dia sudah berjanji untuk menikahi Nur Alifah pada 22 Februari lalu dan tidak tergamak untuk memungkiri janji.

“Saya tidak terfikir untuk tangguhkan, jauh sekali membatalkan majlis perkahwinan yang dirancang hanya kerana kemalangan itu,” katanya.

Pemuda dari Kampung Gong Kiat, Kuala Terengganu itu berkata dia berkenalan dengan Nur Alifah sejak tamat persekolahan lagi sebelum mereka sepakat untuk mengikat tali pertunangan pada 30 Oktober 2021.

“Alhamdulillah, hubungan kami mendapat restu kedua belah keluarga dan sudah tetapkan tarikh pernikahan pada 22 Februari lalu, cuma berlaku insiden tidak diduga lima hari sebelum akad nikah apabila isteri kemalangan ketika membonceng motosikal yang ditunggang adiknya.

“Hanya Allah saja tahu perasaan saya ketika itu dan mujurlah isteri selamat walaupun cedera teruk, malah dengan izin-Nya, kami berdua disatukan juga pada tarikh dirancang,” katanya.

Dalam pada itu, Fakhrullah meluahkan rasa syukur majlis pernikahan mereka berjalan lancar. Ujarnya lagi, dia kini membantu menguruskan isterinya yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

“Buat masa ini, saya yang membantu menguruskan isteri kerana dia belum pulih sepenuhnya dan walaupun bekerja, saya dapat lakukannya. Ini memang sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai suami.

“Berhubung video di TiKTok itu, saya kongsikan dengan harapan mendapat kata semangat dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan kami,” katanya.

Sementara itu, Alifah terharu kerana suaminya tetap sudi menerimanya. Berkongsi cerita punca kemalangan, Alifah berkata dia terkatuh selepas kain jubahnya tersangkut pada rantai motosikal.

“Kemalangan itu berlaku ketika saya dalam perjalanan menghantar barangan dipesan oleh pelanggan dan saya terjatuh daripada motosikal selepas kain jubah tersangkut pada rantai motosikal.

“Saya tidak ingat sepenuhnya apa yang berlaku namun menurut saksi, saya jatuh kemudian berguling di atas jalan raya.

“Alhamdulillah, saya tidak koma selepas kemalangan cuma cedera pada bahagian muka dengan paling teruk adalah kening, tangan dan badan.

“Saya anggap apa yang berlaku ini sebagai takdir yang sudah tertulis dan bersyukur kerana Allah panjangkan nyawa saya serta beri kesempatan untuk berkahwin dengan suami walaupun melangsungkan pernikahan ketika belum sembuh sepenuhnya,” katanya.

SUMBER: Harian Metro