Murung Tiada Kerja Sejak PKP, Isteri Dedah Kisah Suami Hampir Mengamuk & Jadi Pesakit Psikiatri

Tidak dinafikan pandemik Covid-19 menular dalam negara sejak tahun lalu memberi kesan kepada orang ramai dimana ada yang terjejas pendapatan dan lebih parah kehilangan kerja.

Baru-baru ini tular komen seorang wanita, Natashakilla Zulku yang berkongsikan kehidupannya berubah apabila suaminya, Khairul Kasmon mengalami kemurungan akibat tiada kerja sejak awal PKP lalu.

Lebih membimbangkan, Natasha berkata sebelum disahkan menjadi pesakit psikiatri, suaminya tidak tidur selama empat hari empat malam.

Malah, dia pernah melihat suaminya itu menunaikan solat sehingga 7 rakaat dan kemudian tiba-tiba sahaja menangis. Tidak hanya setakat itu, Natasha berkongsikan suaminya seperti terkena histeria dan mengatakan bahawa isterinya adalah klon.

Melihatkan keadaan semakin teruk, dia terpaksa menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan dan suaminya tiba-tiba mengamuk sambil mendukung anak-anaknya serta mengatakan itu adalah hartanya.

Natasha berkata dia pernah berdepan detik cemas apabila suaminya dua kali lari membawa anaknya ketika di hospital sehingga suaminya perlu diikat dan diberi ubat penenang.

Memetik laporan Harian Metro, Natasha berkata suaminya dahulu sangat ceria namun mengalami kemurungan teruk selepas menghadapi beberapa tekanan hidup.

Ujarnya, sebelum itu suaminya diuji dengan kehilangan ibu disusuli nenek yang meninggal dunia akibat sakit tua dan ketika PKP, sektor pekerjaan suaminya dihentikan sementara.

Satu demi satu dugaan, ketika itu dia pula baru melahirkan anak bongsu mereka dan suami sudah merasa tertekan ditambah pula dengan masalah kereta rosak dan memerlukan kos pembaikan yang tinggi.

“Suami saya ketika itu bekerja kontrak sebagai pemandu jentera pengaut hanya mendapat bayaran gaji harian dan sumber kewangan kami sekeluarga terputus berikutan pelaksanaan PKP fasa pertama,” katanya.

Kata Natasha lagi, selepas suaminya dihantar ke wad psikiatri di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, doktor mengesahkan suaminya mengalami kemurungan melampau dan perlu mendapat rawatan.

Difahamkan, Natasha merupakan seorang suri rumah dan tiada sumber pendapatan. Jika anda mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Natashakilla di talian 011-27873126.

SUMBER: Harian Metro