Myvi Rempuh Kubur Cetus Persoalan Netizen

Sebut saja nama Myvi, ada sahaja pelbagai kerenah mengenai kereta dengan jolokan ‘King’ itu. Ada sahaja kisah menarik kita dengar mengenai Myvi di media sosial.

Sejak pagi tadi tular video di aplikasi TikTok memaparkan sebuah Myvi berada di atas beberapa buah kubur dipercayai terbabas.

Difahamkan kejadian berlaku di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights Senawang, Seremban.

Insiden berlaku mencetuskan tanda tanya netizen bagaimana boleh terbabas sehingga ke tengah kawasan tanah perkuburan itu.

Video itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang meninggalkan komen mengatakan mungkin ‘King’ mahu mendekatkan diri dengan Tuhan.

Malah, ada yang mengatakan mungkin tidak sabar untuk menunggu giliran. Lebih menghiburkan, ada yang meninggalkan komen duduk dalam kubur pun tidak selamat sekarang.

Dalam pada itu, ada yang mengatakan mungkin selepas sekian lama Myvi beraksi dan ada saja cerita tak sedap di dengar mengenai kereta itu akhirnya kembali ke pangkal jalan.

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, Myvi tersebut yang dipandu oleh warga emas berusia 60 tahun dikatakan ketika memusingkan kenderaan itu sehingga melanggar kubur.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, hanya empat kubur mengalami sedikit kerosakan membabitkan batu nisan.

Ujarnya lagi, warga emas itu sering datang untuk menziarah kubur arwah suaminya dan mungkin ketika itu dia tersilap sehingga kereta dipandu terbabas.

Menurutnya lagi, pihaknya akan menghubungi waris kubur yang rosak bagi memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

SUMBER: TikTok & Harian Metro