Nafi Dakwaan Menteri, UMS Sahkan Veveonah Ambil Peperiksaan Dalam Talian

Sejak minggu lalu hangat diperkatakan mengenai kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa Veveonah Mosibin terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet demi menjawab soalan peperiksaan adalah palsu.

Bagaimanapun Datuk Zahidi kemudian tampil dengan satu kenyataan memohon maaf di Facebooknya mengatakan bahawa beliau telah menerima maklumat tidak tepat berhubung isu Veveonah.

Tidak hanya habis setakat itu, Datuk Zahidi turut memaklumkan beliau menerima maklumat berkenaan situasi Veveonah daripada Timbalan Menteri Kewangan yang juga merupakan wakil rakyat Kudat iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri.

Bagaimanapun, segalanya terjawab apabila Pengerusi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk Seri Masidi Manjun mengesahkan Veveonah Mosibin tidak menipu dan sememangnya mengambil peperiksaan akhir secara dalam talian.

“Veveonah merupakan pelajar contoh dan telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Marin di peringkat Ijazah, di UMS,” katanya menerusi Twitter.

Bagaimanapun, sebelum Pengerusi USM mengeluarkan kenyataan tersebut, Datuk Abdul Rahim tampil mempertahankan dirinya dengan mengatakan Veveonah tidak lagi tinggal di kampung berkenaan dan sekadar mencipta kandungan di YouTube untuk mencari publisiti.

Namun, difahamkan status yang dimuat naik di Facebook itu telah dipadamkan.

SUMBER: Astro Awani