Nak Kereta Bersih, Tapi Tinggalkan Sampah Dekat Tempat Parking

Buang sampah keluar dari kenderaan bukanlah perkara baru di Malaysia. Malah, beberapa bulan lalu tular apabila seorang wanita membuang sampah dari tingkap kereta dipercayai berlaku di Kelantan.

Namun, kisah yang tular ini sememangnya membuatkan kita geleng kepala. Mana tidaknya, dek kerana mahukan kereta bersih, dibiarkan sahaja sampah di tempat letak kereta.

Dalam video berdurasi tiga minit yang tular itu, kelihatan lelaki tersebut sedang mengemas kereta miliknya Perodua Bezza namun sampah dibiarkan sahaja ditempat parkir.

Lebih mengejutkan, sebaik sahaja masuk dari kereta, lelaki berkenaan sempat membuang baki sampah keluar dari tingkap keretanya.

Difahamkan, kejadian itu berlaku di Jalan Masjid Kapitan Goddess of Mercy Temple di George Town.

Perkara itu turut mendapat perhatian Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang memaklumkan pihak mereka akan mengambil tindakan terhadap individu berkenaan.

“Kelakuan seorang lelaki yang membuang sampah yang banyak dari keretanya ke atas jalan raya amatlah dikesali dan ia tidak sepatutnya berlaku.

“Majlis Bandaraya Pulau Pinang memandang serius dan tindakan yang tegas akan diambil ke atas mana-mana individu yang mengotorkan bandar raya,” tulisnya dalam satu kenyataan.