Sejak semalam hangat diperkatakan apabila Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dipecat dari jawatannya sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd, berkuat kuasa serta-merta.
Perkara itu dinyatakan dalam sepucuk surat yang ditandatangani Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz. Menerusi surat tersebut, Tengku Zafrul turut mengucapkan terima kasih kepada Tajuddin atas perkhidmatannya.
“Nak pecat, pecatlah. Apa isunya? Terima kasihlah, Saya boleh membuat kerja lain,” itu reaksi Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, mengenai pemecatannya.
Dalam pada itu, Tajuddin berkata masih belum menerima surat pemecatannya. Untuk rekod, Tajuddin dilantik sebagai Pengerusi Prasarana pada 11 Mei tahun lalu.
Malam tadi, tular di media sosial salinan surat Datuk Seri Tajuddin ditamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
Terdahulu, Tajuddin dikecam teruk susulan tindakannya sewaktu sidang media secara berjenaka memberitahu wartawan keadaan kemalangan dalam terowong bawah tanah itu adalah ‘normal dengan hanya dua tren bersama, saling bercium’.
Malah, satu petisyen dilancarkan menggesa pemecatan Tajuddin mendapat lebih 130,000 penandatangan serta tular tanda pagar #LetakJawatanTajuddin dan #TajuddinLetakJawatan kini di Twitter.
SUMBER: Free Malaysia Today