Nama & Muka Pesalah Rasuah Malaysia Ditayang Satu Dunia

Seperti kita tahu budaya rasuah di Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu malah, isu rasuah kini dilihat semakin berleluasa. Namun, sejak berlakunya pertukaran kerajaan, satu persatu skandal rasuah dibongkarkan.

Pelbagai langkah dilakukan untuk memastikan orang ramai memahami keburukan gejala rasuah. Malah, elemen antirasuah juga bakal dimasukkan dalam subjek Bahasa Malaysia mulai tahun hadapan.

Terbaru, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menayang gambar wajah dan nama pesalah rasuah di laman sesawang mereka.

Langkah itu pastinya akan membuat orang ramai berfikir dua kali untuk melakukannya apabila Pangkalan Data Pesalah Rasuah boleh dilayari sesiapa sahaja di portal rasmi SPRM.

Kata pihak SPRM, objektif utama pengkalan data itu bertujuan menunjukkan langkah-langkah pencegahan dan memberikan petunjuk yang jelas bahawa SPRM mengisytiharkan ‘perang’ terhadap rasuah.

“Pangkalan data ini berkhidmat sebagai alat kesedaran yang penting bagi membantu orang awam dan organisasi dalam melaksanakan proses penyelidikan dan penilaian sebelum mengambil, melantik atau menaikkan pangkat pekerja mereka.

“Pangkalan data ini juga memainkan peranan sebagai alat pengajaran bagi mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan rasuah selain bertindak sebagai faktor yang memberi keinsafan terhadap mereka yang disabitkan dengan kesalahan rasuah.

Apa yang menjadi perhatian mengenai data pesalah rasuah itu adalah pada paparan muka pertama tertera nama dan muka bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

SUMBER: Harian Metro