Netizen Kagum Pelajar Bukan Islam Cemerlang Tasawwur Islam Setiap Kali Peperiksaan

Baru-baru ini tular di media sosial seorang pelajar bukan Islam berkongsikan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Tasawwur Islam yang diambilnya.

Mendapat 94 markah untuk subjek tersebut, perkongsian pelajar tingkatan lima itu iaitu M Darshini turut mendapat perhatian ramai netizen yang turut mengagumi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Danau Kota itu.

https://twitter.com/dacinipotato/status/1306190520994000902

Memetik laporan Harian Metro, bukan kali pertama mendapat markah cemerlang dalam subjek berkenaan tetapi sentiasa mencatatkan keputusan A+ dan A- dalam setiap ujian untuk subjek berkenaan yang diambilnya sebelum ini.

Menurut Darshini dia mengambil subjek berkenaan sejak tahun lalu dan merupakan satu-satunya calon bukan Muslim di sekolahnya bakal menduduki Tasawwur Islam untuk SPM 2020.

Katanya lagi, dia bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang perubatan selepas menamatkan zaman persekolahan.

“Saya bercadang menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan kebetulan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang paling hampir dengan rumah.

“Memandangkan saya bercadang memohon menyambung pengajian di situ, saya pilih Tasawwur Islam sebagai subjek elektif dengan harapan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan,” katanya.

Ujarnya lagi, tiada kelas diadakan untuk pelajar yang mengambil Tasawwur Islam sebagai subjek elektif kerana pertembungan jadual harian.

Bagaimanapun ia tidak menjadi halangan untuknya mengekalkan gred A dalam setiap ujian dan peperiksaan dengan markah keseluruhan paling tinggi adalah 90.

Dalam pada itu, menerusi laman Twitter, Menteri Hal Ehwal Agama, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengucapkan tahniah kepada Darshini dan memaklumkan beliau akan berjumpa dengan pelajar tersebut dalam masa terdekat.