Netizen Perlu Berhemah Beri Komen, Jiwai Rukun Negara

Baru-baru ini hangat diperkatakan apabila ada seorang netizen meluahkan rasa tidak puas hati mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Indonesia di atas jemputan Presiden Republik Indonesia pada 4-5 Februari lalu.

Lawatan tersebut merupakan lawatan yang penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin di antara Malaysia dan Indonesia, yang merangkumi pelbagai perkara utama termasuklah usahasama menangani Covid-19.

Ianya bukan lawatan peribadi mahupun untuk bercuti tetapi menjalankan tugas negara serta mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun ada pihak yang tidak bertanggungjawab memberikan komen mencemarkan imej negara dengan menggunakan perkataan-perkataan yang sangat memalukan.

Tindakan tersebut secara langsung menunjukkan tiadanya penghayatan kepada Rukunegara kita, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Perkara sebegini jika dibiarkan boleh merosakkan sistem kemasyarakatan negara.

Susulan itu, Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) melihat netizen perlu diberi nasihat dan peringatan dalam memberikan komen-komen dalam media sosial.

PINTAR juga menasihatkan agar para netizen supaya lebih berhemah dan menjaga setiap perkataan yang ditinggalkan di media sosial.

PINTAR juga turut menggesa kerajaan mengambil tindakan-tindakan yang perlu bagi memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai implikasi yang mereka terpaksa hadapi jika tidak mengawal emosi ketika memberikan komen-komen di laman sosial.