Netizen Persoal Hasrat Kerajaan Wujudkan Tabika Elit

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berhasrat mewujudkan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) elit untuk memberi lebih banyak pilihan kepada golongan pertengahan M40.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata kertas cadangan mengenainya sedang diperinci sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk penilaian dalam masa terdekat.

Menurutnya, Tabika Elit ini dicadangkan hanya untuk murid yang ibu bapa mereka mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi kerana yurannya lebih tinggi berbanding Tabika Kemas biasa antara RM5 hingga RM25 sebulan.

“Kita tidak paksa ibu bapa menghantar anak mereka ke TABIKA elit ini kerana 10,900 TABIKA biasa masih beroperasi tetapi TABIKA elit menyediakan kurikulum yang lebih baik berbanding yang biasa.

“Jika Kabinet bersetuju, kita akan wujudkan projek perintis di kawasan tertentu khusus untuk ibu bapa daripada M40,” katanya.

Bagaimanapun, cadangan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar mendapat pelbagai reaksi netizen yang tidak bersetuju serta mempersoalkan tentang keperluan mewujudkan perbezaan pendidikan mengikut status sosial.

Malah, netizen turut mempertikaikan mengapa perlu membeza-bezakan pendidikan untuk kanak-kanak.

Ujar netizen lagi, adalah lebih baaik jika selesaikan masalah fasiliti di tadika serta tingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran daripada mewujudkan pendidikan seolah berbeza ‘kasta’.

SUMBER: BH