Netizen Puas Hati Akhirnya Neelofa Dikompaun

Selepas 33 hari disiasat, pasangan selebriti terkenal Neelofa dan suaminya, Haris Ismail dikenakan kompaun sebanyak RM60,000 hari ini.

Neelofa dikenakan dua kompaun, yang pertama kerana tidak memastikan penjarakan Sosial ketika majlis akad nikahnya di sebuah hotel di ibu negara pada 27 April.

Kesalahan kedua, Neelofa juga didapati bersalah melanggar tujuan rentas negeri yang dibenarkan.

Susulan berita tersebut, rata-rata netizen berpuas hati dan meluahkan rasa syukur dengan tindakan dikenakan terhadap pasangan itu.

Bagaimanapun, ada segelintir netizen mempersoalkan serta membandingkan jumlah kompuan dikenakan terhadap selebriti itu dengan seorang peniaga burger baru-baru ini.

Untuk rekod, Neelofa dikenakan kompaun sebanyak RM20,000, manakala Riz sebanyak RM10,000 dan 20 ahli keluarganya dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang kerana gagal memastikan penjarakan fizikal.

SUMBER: Kosmo!