Netizen Puas Hati Tajuddin Dipecat Serta Merta

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dipecat dari jawatannya sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd, berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu dinyatakan dalam sepucuk surat yang ditandatangani Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz. Menerusi surat tersebut, Tengku Zafrul turut mengucapkan terima kasih kepada Tajuddin atas perkhidmatannya.

https://twitter.com/ChairmanGLC/status/1397513103806386184

Susulan berita itu, hasil tinjauan di media sosial mendapati rata-rata netizen meluahkan rasa puas hati dengan pemecatan tersebut kerana akhirnya desakan rakyat didengar.

Terdahulu, satu petisyen dilancarkan menggesa pemecatan Tajuddin mendapat lebih 130,000 penandatangan serta tular tanda pagar #LetakJawatanTajuddin dan #TajuddinLetakJawatan kini di Twitter.

Ia berikutan tindakan Tajuddin sewaktu sidang media secara berjenaka memberitahu wartawan keadaan kemalangan dalam terowong bawah tanah itu adalah ‘normal dengan hanya dua tren bersama, saling bercium’.

Malah, Tajuddin juga disifatkan tidak profesional apabila gagal hadir ke lokasi kejadian pada malam kemalangan berlaku serta memberi alasan tidak dapat hadir kerana baru selesai bermesyuarat dan bersiap sedia untuk mendapatkan dos kedua vaksin Covid-19.

SUMBER: Free Malaysia Today, MalaysiaKini