Sejak semalam hangat diperkatakan mengenai video tular seorang pensyarah menghina pelajar kerana tiada laptop serta memperlekehkan golongan B40.
Perkara itu turut mendapat perhatian anak kepada Presiden Umno iaitu Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang memberikan pendapatnya tentang isu berkenaan.
Memuat naik perkongsian di Instagram, Hidayah menyokong kata-kata pensyarah berkenaan. Kata Hidayah, pensyarah itu marah kerana pelajar tersebut sudah berada di semestar kelima namun masih tiada laptop.
Hidayah turut mengatakan dia juga pernah berdepan situasi dimana tidak sukakan pensyarah namun tidak sampai tahap mengaibkan.
Dalam pada itu, Hidayah mengatakan menghebahkan atau viralkan perkara itu di media sosial bukanlah tindakan yang bijak.
Hidayah turut menjelaskan bahawa pensyarah itu bukan menghina golongan B40 sebaliknya kerana terlalu kecewa.
“Pendapat sy, pensyarah tu tak menghina B40 pun. Sy berpendapat, dia kata mcm tu sebab beyond kecewa. Terlalu kecewa.
“Ramai jer org B40 yg berjaya. Ramai jer org mak pak yg meninggal masa kecik, masa belajar dan berjaya. Dan ramai juga yg buat part time kerja utk beli laptop. Ramai jer yg boleh bantu belikan laptop – NGO, wakil2 kerajaan, ADUN, wakil rakyat. Hendak seribu daya. Itu maksud pensyarah tu sebenarnya,” tulisnya.
Perkongsian Hidayah itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dimana ada yang tidak bersetuju dan ada yang bersetuju.
Rata-rata yang bersetuju mengatakan mereka memahami jika pensyarah marah kerana ada pelajar seolah tiada usaha untuk dapatkan laptop walaupun yang terpakai.
Kata netizen lagi, jika mampu untuk telefon dan internet, sudah pasti boleh laptop untuk kegunaan belajar.
Bagaimanapun, ada yang mengatakan tiada masalah untuk pensyarah itu memarahi pelajar tetapi jangan sampai menghina atau merendahkan seseorang.