Padah Sebar Berita Palsu, Suri Rumah Di Kangar Didenda RM5,000

Gara-gara menyebarkan berita palsu mengenai penularan Covid-19, seorang suri rumah didenda sebanyak RM5,000 di Mahkamah Sesyen, Kangar, Perlis.

Mengaku bersalah menyebarkan berita palsu menerusi aplikasi telefon pintar pada April lalu, tertuduh yang dikenali dengan nama Norjannah Rusli berusia 28 tahun itu menjadi individu pertama di negara didenda mengikut Ordinan Darurat.

Mengikut kertas pertuduhan, suri rumah berkenaan didakwa menggunakan aplikasi WhatsApp melalui nombor talian yang didaftarkan kepada tertuduh dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.

Wanita tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 8664, Jalan Pauh, Kampung Belukar, Arau pada 10.31 pagi, 18 April lalu.

Peguam yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap tertuduh kerana sedang sarat hamil, tambahan pula , tertuduh juga mempunyai dua anak serta suami yang baru kehilangan kerja sebagai pemandu lori disebabkan Covid-19.

Susulan itu, Hakim Musyiri menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap tertuduh serta lima bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun, tertuduh dilaporkan membayar denda tersebut.

SUMBER: Harian Metro