Pakar: Gelombang Ketiga COVID-19 Di Malaysia Dijangka Berlarutan Hingga Tahun Depan

Melihatkan gelombang ketiga COVID-19 yang menyerang negara kita mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat lebih-lebih lagi apabila kes yang dicatatkan melonjak naik mendadak sejak beberapa hari ini.

Terbaru, pakar menjangakan gelombang ketiga yang menyerang negara ini dijangka berlarutan hingga awal tahun depan seiring peningkatan kes jangkitan virus itu di seluruh dunia.

Pakar memberitahu ia berikutan pola jangkitan COVID-19 di peringkat antarabangsa mempamerkan tempoh ia mencapai tahap puncak yang semakin lama.

Bergantung sama ada vaksin dapat dihasilkan akhir tahun ini

Pakar perubatan kesihatan awam (epidemiologi), Dr Ahmad Zaid Fattah Azman, berkata peningkatan mendadak bilangan kes jangkitan baharu dijangka akan berlarutan bagi suatu tempoh agak lama.

Tambahnya lagi, usaha untuk melandaikan lengkuk COVID-19 menjelang awal tahun depan bergantung kepada beberapa faktor, antaranya sama ada vaksin dapat dihasilkan pada akhir tahun ini atau sebaliknya.

“Trend jangkitan kekal meningkat dan jika keadaan seperti ini berlarutan selama dua minggu lagi, sistem perkhidmatan hospital kita akan lumpuh,” katanya.

Amalkan gaya hidup norma baru sehingga 2022

Justeru, katanya, orang ramai dinasihat supaya kekal mengamalkan gaya hidup berpandukan norma baharu berikutan pandemik COVID-19 dijangka berlarutan hingga akhir tahun depan atau 2022.

“Mungkin kita sebelum ini, tidak pernah mengalami pandemik bagi suatu jangka masa yang lama. Keadaan ini sekali gus mungkin mengakibatkan orang ramai fatigue (penat) untuk mengamalkan SOP.

“Pemimpin juga perlu memainkan peranan untuk memberi penerangan kepada rakyat bahawa kita tak boleh jangka pandemik ini akan berakhir dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya yakin gelombang ketiga COVID-19 dapat dibendung daripada berlarutan hingga awal tahun depan seperti jangkaan pakar kesihatan.

Namun menegaskan bahawa semua pihak perlu memberi kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan wabak itu.

SUMBER: BH Online