Pakar: KWSP Mampu Laksanakan i-Sinar, i-Lestari 2.0

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ‘total lockdown’ ramai yang meluahkan rasa bimbang apatah lagi ramai yang tiada pekerjaan dan dipotong gaji.

Namun, pelaksanaan program i-Lestari dan i-Sinar buat pencarum ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekaligus memberi sinar untuk mereka yang kesempitan hidup.

Bagaimanapun, permohonan i-Lestari telah tamat pada 31 Mac yang lalu begitu juga i-Sinar pada akhir Jun ini mencetuskan tanda tanya adakah simpanan rakyat masih mencukupi atau sudah habis.

Malah, sudah kedengaran gesaan agar kerajaan membenarkan pencarum untuk mengeluarkan i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 bagi membantu rakyat.

Pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berpendapat, KWSP masih mampu untuk mengeluarkan simpanannya sekali lagi tetapi haruslah dengan matlamat yang tepat.

KWSP masih mampu melaksanakan i-Sinar 2.0 serta i-Lestari 2.0 walaupun harga saham agak rendah ketika ini.

Bagaimanapun, ia harus diteliti kerana kebanyakan golongan B40 sudah mengeluarkan hampir kesemua simpanan dan baki caruman kebanyakan mereka kurang daripada RM1,000.

“Oleh itu, matlamat kena tepat kerana kemungkinan besar jika dibuka, ia lebih memberi manfaat kepada golongan M40 dan T20 sahaja berbanding B40 yang lebih memerlukan mengikut baki pinjaman yang ada,” katanya.

Barjoyai menambah, jumlah aset KWSP masih kukuh dan tinggi, selain pelaksanaan i-Sinar dan i-Lestari dilihat dapat membantu rakyat untuk jangka masa pendek.

Malah, pengeluaran yang dibuat secara one-off maksimum RM10,000 untuk semua ahli pasti mempunyai kesan positif untuk membantu ekonomi yang dikenali sebagai kesan pengganda.

“KWSP sudah mengeluarkan lebih RM78 bilion daripada pendeposit di bawah i-Sinar, namun ia masih menunjukkan prestasi keuntungan yang baik.”

“Ia dilihat dapat membantu dalam jangka masa pendek di mana penyimpan yang masih ada baki akan berpendapat bahawa ini merupakan satu peluang,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian