Pasangan Berkahwin Boleh Buat Pengeluaran KWSP Untuk Rawatan Kesuburan

Setiap pasangan yang berkahwin pasti impikan cahaya mata sebagai penyeri sesebuah rumah tangga. Namun, ada yang masih belum diberi rezeki untuk merasai nikmat bergelar seorang ibu dan bapa.

Ada yang merancang untuk melakukan rawatan kesuburan, tetapi perlu berfikir panjang memandangkan kos rawatan tersebut bukanlah murah.

Namun, hasrat pasangan berkahwin untuk menimang cahaya mata bakal jadi kenyataan apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pengeluaran untuk melakukan rawatan kesuburan.

Menerusi satu posting rasmi menerusi Facebook KWSP, pihak mereka telah memperluaskan Pengeluaran Kesihatan untuk mereka yang ingin membuat pengeluaran bagi membiayai kos rawatan kesuburan.

Berikutan itu, KWSP kini membolehkan pengeluaran daripada Akaun 2 untuk rawatan subfertiliti. Pengeluaran Rawatan Kesuburan merupakan inisiatif perluasan di bawah Pengeluaran Kesihatan KWSP.

Untuk pengetahuan anda, pengeluaran ini diperkenalkan di dalam pembentangan Belanjawan 2020 bagi membantu rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan rawatan kesuburan serta meringankan bebanan kewangan memandangkan kos rawatan yang tinggi.

Syarat Pengeluaran KWSP bagi tujuan rawatan kesuburan

1. Warganegara dan Bukan Warganegara
2. Bawah umur 55 tahun
3. Mempunyai simpanan dalam Akaun 2
4. Pasangan yang sah berkahwin dari segi undang-undang
5. Mendapat rawatan di Institusi Perubatan di dalam Negara sahaja

Keperluan Tambahan

  • Kos perubatan tidak ditanggung oleh majikan sepenuhnya.
  • Penyakit ataupun perlatan perubatan haruslah yang telah dibenarkan oleh KWSP.
  • Antara jenis rawatan keuburan yang dibenarkan adalah: Intrauterine Insemination (IUI), In-vitro Fertilisation (IVF),Intracytoplasmic Sperm Injection (ISI)
Cara Permohonan

Cara membuat permohonan adalah dengan cara hadirkan diri ke pejabat KWSP berhampiran anda. Sebelum itu, anda kena pastikan dokumen seperti di bawah ini lengkap dan disediakan:

  • Kad pengenalan dan salinan
  • Buku Akaun bank / bukti nombor akaun bank (screenshot online banking)
  • Laporan perubatan dari institusi perubatan
  • Surat pengesahan majikan mengenai kos perubatan/ rawatan

Untuk maklumat lanjut tentang Pengeluaran Kesihatan-Rawatan Kesuburan ini, layari laman sesawang ini https://www.kwsp.gov.my/