PDRM Guna Dron Pantau Pematuhan SOP Kawasan Perumahan Ketika Aidilfitri

Sempena Aidilfitri ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan dron bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan-kawasan perumahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penggunaan dron tersebut bertujuan untuk memastikan tiada sebarang pelanggan SOP dikesan ketika sambutan Hari Raya.

Meskipun rondaan polis akan dilakukan di setiap kawasan perumahan yang ada, namun polis akan turut menggunakan pendekatan unit kawalan udara PDRM ini.

Bagaimanapun, SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner M V Sri Kumar berkata penggunaan dron tersebut adalah tertakluk kepada permintaan setiap ketua polis daerah di sesebuah negeri.

Beliau berkata, bagi kawasan perumahan seperti apartmen dan sebagainya, polis akan membuat semakan ke atas setiap buku pelawat di premis berkenaan.

“PDRM bertindak demikian supaya tiada yang didapati melanggar SOP berkunjung ke sesebuah rumah seperti mana diarahkan kerajaan.

“Ia merupakan antara bukti yang boleh digunakan bagi menandakan sebarang bentuk kehadiran orang awam di sesebuah premis seperti itu,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian