Pemuda 23 Tahun Berdepan Detik Cemas Hampir Diperkosa Di Gombak

Kita sering mendengar wanita sering menjadi mangsa rogol dan gangguan seksual. Baru-baru ini seorang lelaki berdepan detik cemas apabila ditarik ke dalam kereta oleh lelaki gila seks yang bertindak membuka seluarnya.

Dalam insiden yang berlaku di Batu 4, Gombak pada 29 Ogos lalu, mangsa mempertahankan diri daripada diperkosa lelaki itu dengan menendang kemaluan suspek.

Difahamkan dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 23 tahun yang berada di hadapan rumahnya didatangi jiran memberitahu ada seorang lelaki ingin bertemunya.

Menurut sumber, mangsa pergi ke arah kereta itu tanpa mengesyaki apa-apa sebelum tiba-tiba ditarik masuk ke dalam kenderaan terbabit.

“Dia cuba menjerit meminta pertolongan tetapi tiada siapa yang menyedarinya sebelum suspek bertindak membuka seluar. Terkejut dengan tindakan lelaki itu, mangsa terus menendang kemaluannya dan melarikan diri,” katanya.

Suspek yang berang dikatakan mengejar mangsa dan menarik rambut serta menghempas kepalanya ke dinding rumah jiran. Suspek kemudian bertindak melarikan diri selepas kejadian itu disedari jiran

“Malah mangsa yang terbaring turut dicekik dan ditumbuk di hidung sehingga berdarah. Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

Mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Setapak untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

SUMBER: Harian Metro