Penerima i-Lestari, i-Sinar Yang Tak Terkesan Perlu Bayar Zakat

Pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar ternyata memberikan kegembiraan buat rakyat Malaysia lebih-lebih lagi yang terjejas pendapatan susulan pandemik Covid-19.

Namun, anda perlu tahu bahawa Penerima i-Lestari dan i-Sinar yang beragama Islam perlu menunaikan tanggungjawab untuk membayar zakat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerusi Instagram.

Menurut pusat zakat, bayaran zakat kedua-dua kemudahan pengeluaran itu adalah bergantung kepada tiga situasi.

Katanya, jika jumlah yang dikeluarkan secara keseluruhannya tidak melebihi paras minimum (nisab) dan khas bagi yang terkesan dengan Covid-19 sama ada hilang punca pendapatan atau tidak bekerja, zakat tidak dikenakan ke atas pengeluaran terbabit.

Tetapi bagi mereka yang tidak terkesan, tetapi tetap membuat pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar, maka dianjurkan mencampurkan jumlah itu dengan harta yang lain untuk dizakatkan.

“Bagi mereka yang tiada pendapatan namun memiliki harta yang cukup dan tidak terkesan secara langsung, misalnya mempunyai jumlah simpanan yang tinggi, golongan pesara yang tiada komitmen atau mereka yang tidak berkerja tetapi mempunyai harta yang mencukupi dan mampu menyara hidup, maka pengeluaran yang melebihi nisab juga perlu dizakatkan,” katanya.

Jika anda mempunyai kemusykilan boleh berhubung dengan PPZ-MAIWP di talian 1300885757 atau emel ke [email protected]

SUMBER: Harian Metro