Pengguna Lebuhraya KL-Karak Diminta Jangan Solat Di Lorong Kecemasan

Baru-baru ini tular foto pengguna lebuh raya mendirikan solat di lorong kecemasan akibat kesesakan lalu lintas untuk pulang ke kampung halaman bagi sambutan Hari Raya Aidiladha.

Umum mengetahui hari ini ramai yang akan berpusu-pusu untuk pulang ke Kuala Lumpur. Susulan itu, pemegang konsesi KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad meminta pengguna lebuh raya tersebut tidak menunaikan solat di lorong kecemasan.

Menerusi satu kenyataan media, pihak mereka memaklumkan tindakan itu dikhuatiri boleh menyebabkan penunggang motosikal atau kenderaan lain tidak menyedari kehadiran individu di lorong kecemasan tersebut.

“Kami amat menghargai kesabaran pengguna Lebuhraya KLK dan juga ketaatan umat Islam menunaikan ibadah solat ketika dalam perjalanan ke Pantai Timur pada setiap kali musim perayaan dan cuti umum.

“Namun, kami sebagai pengendali Lebuhraya KLK juga ingin memohon kesabaran dan penelitian wajar daripada pengguna jalan raya agar tidak menunaikan ibadah solat di atas jalan raya iaitu di lorong kecemasan atas faktor keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Anih Berhad meminta pengguna lebuh raya supaya dapat merancang perjalanan dan persinggahan untuk solat atau berhenti rehat di hentian rehat dan rawat sepanjang LPT1 dan Lebuhraya KLK ketika pulang.

SUMBER: BH Online