Penghantar Makanan Maut Digilis Lori Laju

Sejak semalam tular video rakaman dash cam memaparkan kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori dan beberapa kenderaan lain berhampiran sebuah hoteldi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Kemalangan berlaku pada 1.40 tengah hari itu menyebabkan seorang penghantar makanan berusia 35 tahun meninggal dunia selepas parah dirempuh dan digilis lori berkenaan.

https://twitter.com/JamalThaRebel/status/1359103940353138688

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika lori dipandu suspek berusia 47 tahun berkenaan bergerak agak laju sebelum hilang kawalan selepas keluar dari susur Lebuh Bukit Jalil-Puchong.

Disebabkan keadaan itu, lori berkenaan melanggar sebuah van sebelum merempuh sebuah motosikal Yamaha Y125ZR dan Perodua Axia dalam masa sama mengakibatkan penunggang motosikal berkenaan jatuh di lokasi kejadian.

“Lori berkenaan yang masih tidak dapat dikawal ketika itu kemudian melanggar belakang Perodua Myvi dan Toyota CHR sebelum terbabas di bawah jejantas dan terhenti di situ,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, pemandu lori berkenaan telah pun ditahan untuk menjalani ujian alkohol dan urin. Semakan mendapati pemandu lori berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Nak tahu kisah-kisah menarik yang up to date, jangan lupa follow kami di Facebook dan juga Instagram.

SUMBER: Harian Metro