Semalam tular video di media sosial seorang wanita bertindak merosakkan barangan peniaga yang membuka gerai di sebelahnya sekaligus mengundang kemarahan netizen.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook Malaysian Crime Watch – MyWatch, memaparkan wanita itu menterbalikkan beberapa bekas yang mengandungi bahan-bahan untuk membuat laksa gerai sebelah.
Dapat dilihat bahan-bahan laksa milik peniaga tersebut berterabur di bawah. Difahamkan kejadian itu berlaku di sebuah tapak perniagaan di Taman Koperasi LLN, Kajang.
Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku apabila wanita tersebut yang merupakan peniaga keropok lekor tidak puas hati dengan kehadiran peniaga lain di sebelah gerainya.
Perkongsian video itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang mengecam tindakan penjual keropok lekor berkenaan apatah lagi ramai yang mahu mencari rezeki ketika tempoh PKP ini.
Dalam pada itu, ada yang mempersoalkan mengapa peniaga tersebut perlu rasa iri hati sedangkan tidak menjual makanan atau barangan yang sama.
Terbaru, penjual keropok lekor berkenaan telah pun meminta maaf kepada abang ipar kepada peniaga laksa berkenaan.
Terdahulu, peniaga laksa terlibat telah pun membuat laporan polis semalam, bagaimanapun membuat keputusan untuk menarik balik laporan tersebut selepas wanita itu memohon maaf.
SUMBER: Kosmo!