Umum mengetahui sejak beberapa bulan ini hangat diperkatakan mengenai trend berbasikal di kalangan orang ramai. Meskipun ianya aktiviti sihat namun apa yang menimbulkan kemarahan ramai adalah sikap penting diri segelintir individu.
Ada di antara individu tersebut yang tidak mengendahkan undang-undang sehingga boleh membahayakan nyawa pengguna lain di jalan raya. Malah, tular baru-baru ini ada yang berbasikal di lebuh raya dan muncul secara tiba-tiba sekaligus mengejutkan pengguna jalan raya.
Terbaru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan individu yang menunggang basikal di lebuh raya boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 kerana ingkar arahan sekatan serta larangan menggunakan kenderaan di atas jalan tertentu.
Perkara itu dimaklumkan oleh PDRM menerusi Facebook rasmi mereka. Menerusi kenyataan itu, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan atau kedua-duanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, semua plaza tol sudah tersedia papan tanda yang memaklumkan larangan kenderaan yang tidak dibenarkan di lebuh raya.
“Apa yang kami pentingkan adalah keselamatan semua pengguna jalan raya termasuk tahap kesihatan mereka juga yang boleh terjejas dengan bau asap kenderaan di tempat yang sibuk,” katanya.