Penjual Burger Dikompaun RM50,000, Isteri Dedah Ada Orang Tak Puas Hati

Sejak semalam, hangat diperkatakan di media sosial mengenai seorang peniaga burger di Kelantan yang dikenakan kompauan sebanyak RM50,000 kerana didapati menjual melebihi had masa ditetapkan.

Kecewa dengan kompaun dikenakan, Nor Laili Shafii berkongsi cerita gerai burger yang diusahakan bersama suaminya, Wan Mohd Faisal Wan Kadir itu didatangi oleh anggota polis kira-kira jam 11 malam, Ahad lalu.

“Tidak adil kami dikenakan kompaun dalam jumlah yang begitu besar, kami bukan pemilik restoran tapi hanya berniaga depan tangga rumah.

“Masa itu saya dan suami sedang menyiapkan tempahan burger pelanggan, memang tiada seorang pun pelanggan di gerai ketika itu, hanya saya dan suami serta empat pekerja.

“Anggota polis keluar daripada kereta dan bertanya kenapa tak tutup lagi? Kami jelaskan sedang siapkan peasanan pelanggan yang merupakan pekerja kilang dan akan hantar (COD). Memang tak berniaga dah masa tu.

“Mereka terus minta kad pengenalan, kami merayu dan beritahu akan terus tutup gerai tapi nampaknya rayuan tak didengari. Mereka terus keluarkan kompaun,” katanya.

Kata Laili, menerusi apa yang dimaklumkan oleh anggota polis, ada pihak yang membuat laporan mengenai gerainya beroperasi melebihi waktu ditetapkan.

“Mungkin ada yang tak puas hati dengan sambutan yang diterima gerai kami. Kami dah berniaga burger selama belasan tahun cuma hanya tahun lalu baru berniaga di depan rumah sebab PKP.

“Lagi pula ramai yang bekerja shif contohnya pekerja kilang. Waktu-waktu pukul 10 macam tu baru mereka nak cari beli makanan dan ada juga nak beli untuk bersahu. Tapi dah ditetapkan operasi sehingga 10 malam sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Lali berharap agar kompaun dikenakan dapat dipertimbangkan semula memandangkan bisnes burger tersebut merupakan satu-satunya mata pencariannya bersama suami.

Difahamkan, kompaun tersebut merupakan kes berulang dimana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini mereka dikenakan kompaun RM1,000.

Untuk rekod, premis kedai makan dan restoran di Kelantan dihadkan sehingga 10 malam sahaja sepanjang tempoh PKP.

SUMBER: mStar Online