Pesakit Covid-19 Lari dari Hospital, Pergi Shopping Dengan Bakal Tunang

Sejak semalam, kes Covid-19 yang dicatatkan kini sudah melebihi 7,000 mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia. Malah, hari ini mencatatkan kes tertinggi iaitu 7,478 kes.

Disaat ini, barisan petugas hadapan sudah keletihan kerana terpaksa berhadapan dengan ribuan pesakit baharu setiap hari. Namun, ada individu tidak bertanggungjawab menyukarkan lagi pihak frontliners.

Baru-baru ini tular kisah yang dikongsikan oleh Faizul Azim, Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Sungai Chua, Kajang, Selangor.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Faizul mendedahkan seorang pesakit Covid-19 bukan sahaja tidak bertanggungjawab bertindak melarikan diri di hospital, malah siap keluar membeli belah dengan bakal tunangnya.

Menurut Faizul, dia bersama pihak polis dan inspektor kesihatan telah pergi ke rumahnya tetapi lelaki itu tidak ada di rumah.

Lelaki berusia 24 tahun itu itu memberitahu ibunya dia sudah dibenarkan keluar dari hospital kerana keputusan ujian Covid-19 adalah negatif.

Katanya lagi, lelaki itu kemudian ditangkap di hadapan sebuah restoran makanan segera di Kajang, Selangor.

Tak ada sikap tanggungjawab langsung, sudahlah positif Covid-19, boleh pula keluar sesuka hati tanpa fikir virus tersebut boleh tersebar kepada lebih ramai orang lagi.