PKPB Empat Zon Merah Di Sabah & Selangor Berkuat Kuasa 9 Oktober

Menerus sidang media sebentar tadi, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan empat kawasan di Sabah dan Selangor bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 Oktober ini.

Empat daerah yang terlibat adalah di Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang, Selangor.

“Melihat kepada peningkatan kes COVID-19 di kawasan tersebut, maka mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di empat kawasan tersebut bermula 9 Oktober 2020.”

Kata beliau lagi, pelaksanaan PKPB ini bagi membendung penularan dan pengesanan kes secara bersasar sepanjang tempoh 14 hari.

Sepanjang tempoh PKPB itu, semua perniagaan bukan perkhidmatan perlu ditutup manakala restoran, kedai makan, kedia runcit dan kedai serbaguna dibenarkan beroperasi 6 pagi hingga 6 petang.

Sementara itu, hanya dua orang sahaja dibenarkan keluar rumah untuk membeli barang keperluan dan pembelian makanan secara berbungkus serta pandu lalu sahaja dibenarkan.