Polis: Syafiq Ahmad Dipercayai Terlelap Sebelum Kemalangan

Pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad dipercayai terlelap sebelum kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas dalam kemalangan berhampiran Plaza Tol Jawi awal pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, kemalangan itu dipercayai akibat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tertidur dan menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan.

“Gagal mengawal kenderaan menyebabkan pemandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kanan sebelum terbalik dan terseret berdasarkan kesan calar di jalan.

“Kejadian menyebabkan tiga penumpang iaitu bayi lelaki, ibu mentua dan pembantu rumah warga Indonesia maut di lokasi akibat kecederaan parah,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini mengenai isteri kepada Muhammad Syafiq, pihak polis berkata isterinya patah tulang rusuk, pendarahan dalam perut, otak serta patah tulang paha kiri.

“Anak sulung mereka juga dipercayai mengalami pendarahan dalam otak yang mana kedua-dua ibu dan anak itu kini mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Muhammad Syafiq pula hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam, Muhammad Syafiq yang memandu dari Johor Bahru dalam perjalanan membawa isterinya, Nur Amalina Norain, yang sedang berpantang ke kampung mentuanya di Pendang, Kedah.

Kemalangan itu turut mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari, ibu mentuanya dan pembantu rumah warga Indonesia.

SUMBER: Harian Metro