Pondan Hadiri Majlis Hari Jadi Diserbu Jabatan Agama Kedah

Padah berpakaian wanita, sekumpulan lelaki diserbu oleh anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) di sebuah hotel di Bandar Darulaman, Jitra malam tadi.

Memetik laporan Harian Metro, kesemua 30 lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an didapati berpakaian wanita seperti gaun dan berbaju kebaya ketika menyertai majlis sambutan hari jadi yang diadakan di hotel tersebut.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIK, Radzi Abdul Mutalib berkata, serbuan dilakukan pihaknya pada 10.30 malam selepas menerima maklumat berhubung majlis berkenaan.

“Bagaimanapun, kami meminta mereka yang tidak berkenaan bersurai dan hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 30 lelaki yang berpakaian wanita dan disyaki pondan.

Difahamkan, kesemua 30 lelaki itu tidak ditahan sebaliknya hanya diberi notis hadir ke Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) pada tarikh ditetapkan.

Dalma pada itu, pihaknya turut memberi amaran kepada seorang lelaki dipercayai penganjur majlis itu yang berusia 30-an dan dia turut diarah untuk hadir ke pejabat agama bagi membantu siasatan.

Ketika serbuan dilakukan, pihaknya mendapati ada acara pakaian beragam dan nyanyian karaoke berlangsung. Malah, majlis itu turut dihadiri ramai tetamu termasuk wanita dan warga emas.

Kesemua pondan terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 26 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan atau kedua-duanya sekali.

SUMBER: Harian Metro