Prank Gelang Pink, Kerajaan Serah Kepada Polis Untuk Ambil Tindakan

Sebelum ini kecoh mengenai tindakan tidak bertanggungjawab beberapa individu gelang pink yang sepatutnya menjalani perintah kuarantin di rumah namun mengingkarinya apabila dilihat berada di tempat awam.

Minggu lalu hangat diperkatakan mengenai tindakan seorang Instafamous yang mencetuskan kontroversi apabila memuat naik satu video memaparkan dirinya memakai gelang pink semasa sedang makan di sebuah restoran.

Meskipun ianya hanya prank dan jenaka kehidupan sebagai suami isteri, namun tindakannya itu mengundang kemarahan netizen yang mneyifatkan tindakannya itu tidak sensitif dengan situasi negara yang masih lagi berperang dengan wabak membawa maut itu.

Bagaimanapun, Instafamous berkenaan sudah pun membuat permohonan maaf secara terbuka serta menjelaskan bahawa ia bukanlah prank tetapi semua itu hanya lakonan termasuklah mereka yang berada di tempat awam berkenaan.

https://www.instagram.com/p/CFY1rQ9Dn5U/?utm_source=ig_embed

Susulan video tular itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan tindakan individu yang memakai gelang merah jambu untuk tujuan gurauan boleh dianggap satu kesalahan kerana bertujuan menipu orang ramai.

“Terdapat dua kesalahan. Pertama, jika dia benar-benar dikuarantin dan memakai gelang ‘pink’ untuk keluar, tentunya dia dikenakan tindakan.

“Kalau tidak dikenakan kuarantin tetapi (semata-mata hanya) memakai gelang tersebut, dia juga menipu kerana menggunakan bahan atau peralatan Kementerian Kesihatan untuk tujuan menipu orang ramai. Dia salah… (kerana) melakukan kesalahan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap individu-individu yang tidak bertanggungjawab itu.

“Terserah kepada polis untuk ambil tindakan. Kami perlu bertanggungjawab. Jangan kita jadikan perkara ini sebagai bahan mainan atau ketawa. Ini melibatkan isu nyawa, isu yang besar.

“Jadi, jangan menganggap ini perkara yang boleh dibuat lawak, dimain-mainkan kerana kesannya adalah amat besar,” katanya.

https://youtu.be/bdQ3Rx741t8