PU Riz Mahu Beri RM700 Untuk Pelajar B40 Dapat 7A SPM

Semalam keputuan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 telah pun diumumkan. Malah, sejak semalam rata-rata pelajar berkongsikan kegembiraan mereka dengan keputusan diperoleh di media sosial.

Berita baik buat pelajar yang mendapat 7A dalam SPM, pendakwah bebas, PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail menawarkan wang sebanyak RM700.

Berkongsikan perkara itu di Instagram, PU Riz berkata bukan hanya tertakluk kepada keputusan 7A sahaja, pelajar yang mempunyai kisah inspirasi atau cerita yang boleh dikongsikan juga boleh menghubunginya.

“Assalamualaikum.. tahniah kepada semua yang telah memperoleh keputusan SPM. Tak kira apa pun keputusan, syukur alhamdulillah.

“Tapi kepada pelajar yang memperoleh 7A ke atas atau mempunyai cerita nak dikongsi betapa susahnya nak mencapai sesuatu keputusan, boleh hantar mesej peribadi (DM) di Instagram atau nombor WhatsApp disediakan untuk kami berikan sedikit sebanyak lebih kurang RM700 kepada yang terpilih,” katanya.

Dalam pada itu, PU Riz berkata dia lebih mencari pelajar yang memerlukan seperti daripada golongan B40 dan orang kurang upaya (OKU).

“Saya lebih mencari golongan seperti B40 dan OKU. Kalau berminat, boleh hantar cerita dan kami akan pilih secepat mungkin,” katanya.

Bukan pertama kali berbuat demikian, tahun lalu PU Riz turut menawarkan ganjaran buat pelajar yang mendapat 5A dalam SPM dengan memberikan RM300 setiap seorang.

SUMBER: Ohmymedia