Puasa Jemaah Terbatal, Masjid Di Gombak Laung Azan Maghrib Awal 3 Minit

Setiap kali bulan Ramadan, pasti ramai yang tertunggu-tunggu laungan azan Maghrib dari masjid atau surau bagi menandakan sudah masuk waktu berbuka puasa.

Namun, baru-baru ini lain pula jadinya di Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor yang melaungkan azan Maghrib awal tiga minit.

Susulan isu tersebut, pihak Masjid Al-Khairiyah Sri Gombak telah memohon maaf dan menjelaskan kesilapan berpunca akibat masalah teknikal pada paparan digital waktu azan di masjid tersebut.

Dalam pada itu, pihak masjid memaklumkan bahawa puasa para jemaah di sekitar kawasan tersebut terbatal dan perlu diganti.

“Assalamualaikum. Saya mewakili seluruh pentadbir Masjid Al-Khairiyah Tmn Seri Gombak memohon maaf atas kesilapan kami melaungkan azan Maghrib *tiga (3) minit sebelum masuk waktu sebenar pada hari Isnin @ 7 Ramadhan 1442 @ 19 April 2021* disebabkan oleh masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid.

“Para jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masjid Al-Khairiyah untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa Tuan/Puan telah *terbatal* pada hari tersebut dan perlu diganti/diqadha’,” tulisnya.

Sementara itu, rata-rata netizen di Facebook Asal Gombak turut berkongsi cerita mengenai insiden berkenaan.