Ramai yang cukup kagum dengan Abang Viva viral yang datang dari Melaka untuk menyelamatkan mangsa banjir di Shah Alam. Mana tidaknya, dengan hanya berbekalkan RM50 tidak menghalang niat murni Azwan Omar untuk membantu mangsa banjir.
Meskipun dipuji ramai, Azwan berkata dia tidak mahu dijulang berlebih-lebihan serta menolak sebarang pemberian sumbangan berunsurkan pemasaran.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Azwan berkata dia hanya menerima sumbangan daripada individu atau syarikat yang memberikan secara ikhlas tanpa sebarang syarat.
“Kalau nak bagi ikhlas, insya-Allah saya akan terima. Jika nak bagi untuk mempromosikan sesuatu barangan memang saya tak nak.
“Saya menolong mangsa banjir di Puchong dan Shah Alam, Selangor serta Temerloh, Pahang bukan minta simpati atau menagih kereta baharu atau sebagainya. Saya buat ini adalah ikhlas kerana ingin menolong mereka dalam kesusahan.
“Saya cukup selesa dengan kehidupan sekarang serta kereta Perodua Viva yang saya miliki,” katanya.
Dalam pada itu, Azwan berkata dia dihubungi pihak Perodua sewaktu berada di Shah Alam namun tiada sebarang perbincangan. Malah, dia turut dihubungi seorang usahawan yang ingin menghadiahkannya sebuah kereta.
“Saya belum buat sebarang kata putus sewaktu mereka menghubungi kerana ketika itu saya sedang membantu mangsa banjir. Tengoklah dalam beberapa hari ini jika mereka menghubungi semula saya,” katanya.
Difahamkan, pada awalnya Azwan ke Puchong untuk membantu kakaknya namun nekad menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir lain.
SUMBER: Utusan