Ras Adiba Cadang Kak Long 7E Naik Kerusi Roda Satu Dalam Hari Supaya Faham OKU

Sebut saja nama Kak Long 7E, satu Malaysia telah mengenalinya menerusi beberapa video kontroversi terpalit wanita itu.

Namun, videonya seakan mengejek Orang Kelainan Upaya (OKU) dikecam teruk oleh netizen sehingga ada beberapa pihak membuat laporan polis berhubung isu itu.

Meskipun beberapa kali melakukan kesilapan, seperti biasa Kak Long berulang kali memohon maaf. Malah, baru-baru ini Kak Long memohon maaf di atas ketelanjurannya serta mengatakan periuk nasinya terjejas akibat isu berkenaan.

Sementara itu, memetik mStar Online, Yang Berhormat Senator Datuk Ras Adiba binti Mohd Radzi yang mewakili insan kurang upaya (OKU) dalam dewan negara mengulas mengenai isu berkenaan.

Malah, Ras Adiba turut mencadangkan agar wanita itu cuba untuk duduk di kerusi roda untuk memahami tentang Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Saya rasa orang sebegitu perlu diberikan sedikit sokongan dan pemahaman kerana mungkin dia tidak berapa faham ataupun kurang sensitif tentang keadaan manusia yang berbeza-beza.

“Melalui kerja-kerja komuniti itu mungkin dapat memberinya sedikit pemahanam berkaitan OKU. Bagi dia satu hari sahaja berada di sepatu kami, memakai kerusi roda, menjadi pekak buta dan bergerak sebegini pasti dia akan memahaminya.

“Dia pun dah minta maaf, Alhamdulillah dan kita seharusnya memberikan lebih pemahaman kepada dirinya.” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kifarah itu benar dan bila-bila masa sahaja kita boleh menjadi seorang OKU.

“Ini sebenarnya adalah sesuatu yang begitu menakutkan kerana kita mula lupa tentang adab.

“Apa yang harus kita lakukan adalah untuk duduk, bernafas dan lihat keadaan di sekeliling kita dan memerhatikan bahawa ada ramai orang yang mempunyai kekurangan dan kelebihan masing-masing.

“Jadi kita tidak boleh ambil mudah kerana setiap daripada kita suatu hari nanti akan menjadi OKU cuma waktu saja akan menentukan,” katanya.

SUMBER: mStar Online