Remaja Bakar Pusat Tahfiz Dipenjara Hingga Dapat Pengampunan Agong

Hampir tiga tahun berlalu, hari ini remaja lelaki berusia 19 tahun dijatuhi hukuman penjara sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Remaja tersebut didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato Keramat, yang berlaku pada 14 September 2017.

Pada 28 Jan 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan remaja itu yang berusia 16 tahun ketika didakwa melakukan kesalahan berkenaan, membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan seorang lagi individu yang seusia remaja itu, yang dituduh bersama-samanya tanpa dipanggil membela diri.

Pada awalnya kedua-dua mereka dituduh secara bersama atas kesalahan membunuh, namun pertuduhan itu dipinda susulan keputusan pada akhir kes pendakwaan.

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda atau pampasan.

Seramai 71 saksi memberi keterangan semasa peringkat pendakwaan bermula pada 30 Mei 2018.

Untuk rekoda, tragedi menyayat hati itu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru yang terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan.

SUMBER: Harian Metro