Ingatkan hanya dalam drama atau filem sahaja, namun ia sememangnya terjadi. Itulah yang berlaku kepada pemilik dan pekerja sebuah restoran nasi kandar terkenal di Pulau Pinang yang mendakwa mereka diugut untuk memberikan wang perlindungan.
Pemilik Hameediyah Restaurant, Syed Ibrahim NMA Abdul Sukkoor mendakwa sekumpulan lelaki yang diketuai oleh seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Datuk’ memintanya untun membayar wang perlindungan.
Menurutnya, ‘Datuk’ berkenaan yang sebelum ini beberapa kali datang bersama keluarganya makan di restoran berkenaan yang terletak di Jalan Ismail Hashim di Sungai Ara meminta untuk membayar wang perlindungan sebanyak RM2,000 sebulan.
Malah, dia mendakwa anak lelaki dan juga pekerjanya juga diugut akan dicederakan jika gagal membayar wang perlindungan yang diminta.
“Datuk itu juga mengugut untuk meletakkan racun dalam makanan kami dan memaklumkan perkara tersebut kepada orang ramai agar tiada pelanggan yang datang ke restoran kami.
“Dia juga memberitahu saya tidak akan boleh berniaga di kawasan itu jika tidak membayar wang perlindungan yang telah diminta,” katanya seperti dipetik The Star.
Bimbang akan keselamatan keluarganya berikutan ugutan yang diterima, Syed Ibrahim telah membuat laporan polis di balai polis Bayan Lepas pada 14 Oktober lalu.
OCPD Balik Pulau juga telah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan.
SUMBER: The Star