Rindu Tak Dapat Datang Sebab PKP, Si Cilik Ini ‘Curi-Curi’ Bersihkan Surau

Umum mengetahui sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu banyak aktiviti sosial tidak dibenarkan termasuklah beribadah di masjid.

Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanaan, namun masih ada beberapa kekangan dimana kanak-kanak tidak dibenarkan untuk hadir ke surau atau masjid,

Susulan itu, ada segelintir yang rindu untuk beribadah di surau atau masjid seperti kanak-kanak ini Muhammad Asrafil Naufal, 7 tahun yang meminta ayahnya untuk dibawa ke surau di kawasan kediaman mereka.

Digelar ‘siak cilik’, kanak-kanak itu tidak dibenarkan menjalankan ‘tugasnya’ sejak PKP untuk membendung COVID-19 atas faktor usia.

Bapanya Mohd Rafi Ali, 46, berkata, anaknya bongsunya itu merengek mahu ke surau biarpun tidak dibenarkan bersolat bersama kerana bimbang keadaan surau tidak terurus.

Ujarnya, anaknya itu sukarela membersihkan sekitar surau, menyapu dan membuang sampah atau mengelap habuk tetapi tidak dapat menjalankan ‘tugasnya’ sejak lima bulan lalu.

“Sejak berusia dua tahun, dia sudah biasa mengikut saya ke surau dan masjid tetapi sejak 18 Mac lalu, dia hanya berada di rumah, selain ke sekolah.

“Dia secara sukarela bertindak seperti ‘siak’ membersihkan sekitar dalam surau, menyapu dan membuang sampah atau mengelap habuk di seluruh kawasan surau tetapi tidak dapat menjalankan ‘tugasnya’ sejak lima bulan lalu.

“Jemaah surau pun sering bertanya kerana Naufal memang mesra dengan jemaah namun keadaan tidak mengizinkan untuk datang,” katanya.

Dek kerana sudah lama tidak hadir ke surau, sudah dua hari Naufal ‘curi-curi’ datang membersihkan kawasan di sekitar surau untuk melepaskan rindu.

Bagaimanapun, dia hanya dibenarkan oleh bapanya untuk datang membersihkan surau sebaik jemaah pulang ke rumah.

“Saya sedih kerana tidak dibenarkan datang menjalankan aktiviti membersihkan surau.

“Saya merayu kepada ayah agar membenarkan saya datang membersihkan surau tetapi ayah kata boleh datang membersihkan surau sebaik jemaah pulang ke rumah,” katanya.

Dalam pada itu, kanak-kanak itu berharap agar wabak COVID-19 segera berakhir dan dapat mengikut ayahnya ke surau atau masjid, sekali gus menunaikan solat berjemaah.

SUMBER: BH Online