Umum mengetahui berikutan pandemik melanda negara dua tahun lalu, ramai yang terjejas pendapatan sehingga ada dibuang kerja.
Namun, pelaksanaan program i-Lestari dan i-Sinar buat pencarum ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekaligus memberi sinar untuk mereka yang kesempitan hidup.
Baru-baru ini tular video di aplikasi TikTok @Malaysianupdatenews memaparkan seorang pakcik merayu dan menangis agar kerajaan membenarkan pengeluaran terakhir i-Citra sebanyak RM10,000 dari simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana sudah terdesak.
Katanya lagi, dia sangat memerlukan wang tersebut kerana perlu menampung kehidupan termasuk anaknya yang sedang belajar di universiti.
Rayunya lagi, itu adalah duitnya dan jika perlu menunggu hari tua kelak tiada siapa tahu sama ada masih hidup lagi atau tidak.
Perkongsian video itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut sebak mendengar rayuan pakcik berkenaan yang terpaksa merayu untuk mendapatkan duit sendiri.
Malah, ramai yang turut meminta agar kerajaan mendengar suara rakyat serta membenarkan pengeluaran terakhir itu kerana masih ramai lagi yang berdepan kesusahan.