Rumah Harga RM300,000 Dilabel Rumah Mampu Milik

Tidak dinafikan ramai yang mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri. Namun melihatkan harga rumah semakin meningkat membuatkan mereka terpaksa menyewa.

Menurut Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia, Datuk Ar Ezumi Harzani, penetapan harga kediaman mampu milik oleh kerajaan pada RM300,000 dengan keluasan minimum 900 kaki persegi adalah berpatutan bagi kebanyakan daerah di Malaysia.

Katanya, faktor kos harga tanah dan pematuhan peraturan yang tinggi di bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, boleh menjejaskan kemampuan pemaju untuk melaksanakan pembinaan perumahan pada saiz dan harga sedemikian.

DATUK AR EZUMI HARZANI

“Selain itu, deposit pembinaan, permit kerja tanah, deposit utiliti, sumbangan pembangunan utiliti, serahan tanah untuk pembangunan utiliti, pembinaan jalan, parit, kawasan takungan air, bayaran kos permohonan strata kos lesen pemaju dan pelbagai bayaran lain yang menyebabkan peningkatan kos pembinaan juga wajar dilihat semula,” katanya.

Ezumi berkata, kos pematuhan yang tinggi dan jualan lembap menyebabkan banyak pemaju hartanah menangguhkan projek perumahan mampu milik.

Dalam pada itu, sudut kewangan pembeli, kestabilan pendapatan pengguna adalah penentu sama ada kediaman mampu milik dapat dimiliki atau sebaliknya.

Beliau turut menyeru kerajaan untul menyediakan insentif tertentu kepada pemaju hartanah untuk membina kediaman mampu milik mengikut kehendak dan kemampuannya bagi mengelak jumlah perumahan berkualiti rendah yang tidak terjual terus bertambah.

SUMBER: BH Online