Saintis Malaysia Berjaya Cipta Kit Ujian Pantas COVID-19 Pertama Di Dunia

Sekumpulan saintis tempatan yang diketuai oleh Prof Madya Dr Wan Wardatul Amani berjaya menghasilkan kit ujian pantas atau ‘rapid test kit’ pertama di dunia yang mempunyai ketepatan bacaan sama dengan ujian dilakukan di makmal.

Beliau yang merupakan rakyat Malaysia pertama yang melancarkan alat sensor deria untuk NASA itu berkata kit ujian pantas dihasilkannya itu mampu mengesan COVID-19 menggunakan air liur berbanding teknologi sedia ada.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu turut berkata inovasi dihasilkannya mampu mengesan COVID-19, walaupun air liur individu terbabit tidak mengandungi banyak virus lain pada kadar lebih murah dan cepat.

Menurut Dr Wan Wardatul, projek itu asalnya adalah sensor untuk mengesan bakteria berbahaya digunakan ketika kejadian banjir di Kuala Krai, Kelantan pada 2014.

“Bagaimanapun, kumpulan saya mula memikirkan idea untuk bantu memerangi Covid-19, ketika wabak itu melanda seluruh negara. Daripada situ kami cuba inovasikan teknologi digunakan bagi saringan Covid-19,” katanya.

Kumpulan saintis berkenaan turut tersenarai sebagai antara 15 finalis bagi Anugerah Komuniti anjuran universiti berprestij Amerika Syarikat (AS), Massachusetts Institute of Technology (MIT) – MIT Solve Challenge.

Pencapaian beliau juga turut mendapat perhatian Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif nanoSkunkWorkX Sdn Bhd, Iqbal Shamsul, berkata pihaknya sedang mencari dana untuk memasarkan alat berkenaan, selain mensasarkan Malaysia sebagai hab inovasi terbabit.

Selain itu, beliau turut berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi membentangkan hasil inovasi berkenaan.

SUMBER: