Samun Kereta Sampai Berdarah Di Sentul, Ramai Bengang Perakam Video Tak Tolong Mangsa

Sejak semalam, tular di media sosial video memaparkan seorang pemandu ehailing dipercayai disamun di kawasan Sentul.

Menerusi video tersebut, dapat dilihat pemandu berlumuran darah dan berlaku bergelutan antara dua individu. Turut kedengaran pemandu berkenaan menjerit supaya menghubungi polis.

Diakhir video pemandu ehailing berkenaan dilihat terbaring di atas jalan raya dan keretanya dibawa lagi oleh seorang suspek.

https://www.tiktok.com/@majoritiofficial/video/7056803584280759579?

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen yang terlebih dahulu meluahkan rasa bengang dengan tindakan perakam video yang tidak membantu mangsa sebaliknya sibuk merakam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, ada yang mengatakan mungkin si perakam takut untuk membantu apatah lagi melihatkan ada yang cedera dalam kejadian itu dan mungkin ada yang bersenjata.

Tidak kurang juga, ada yang mengatakan bernasib baik kerana ada yang merakam kerana memudahkan pihak polis untuk mencari suspek.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan pihak polis sudah pun menahan lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 23 tahun itu yang menyamar sebagai penumpang dan memesan perkhidmatan e-hailing ditahan pada 12 tengah hari tadi di Kota Damansara.

Katanya lagi, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 2.08 petang semalam mendakwa telah disamun, ditikam di leher dan kereta Proton Saga miliknya dilarikan suspek.

“Siasatan mendapati mangsa mengambil suspek di Putrajaya menggunakan aplikasi In Driver dan setelah sampai di destinasi di Sentul Pasar, mangsa memberitahu suspek jumlah tambangyang perlu dibayar.

“Namun suspek meminta akaun (bank) mangsa kerana mahu membuat pembayaran tambang secara atas talian. Semasa mangsa sedang mencari nombor akaun miliknya, secara tiba-tiba suspek menikam mangsa menggunakan objek tajam di bahagian leher.

“Suspek juga bertindak menarik mangsa keluar dari kereta dan melarikan kereta jenis Proton Saga warna kelabu itu,” katanya.

Difahamkan, mangsa dibantu orang awam yang kebetulan melalui jalan terbabit dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dengan ambulans untuk rawatan.

Polis berkata pihaknya turut merampas kereta yang dilarikan suspek dan juga beberapa barangan termasuk sebilah pisau dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa semasa kejadian.

Turut ditemui sebuah beg silang milik mangsa, kunci kereta, lesen memandu, pasport serta kad pelantikan anggota Rela milik mangsa dan beberapa keping kad bank.

SUMBER: Majoriti & Harian Metro