Sebab Nombor Plat “Sayang Awokk”, Pencinta Wanita Ke Balai Sudahnya

Betul apa dikatakan orang, cinta itu buta sehingga membuatkan seseorang itu melakukan apa saja termasuk melanggar peraturan seperti lelaki ini.

Baru-baru ini, seorang penunggang motosikal ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran mengelirukan di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan pada pagi Ahad lalu.

Memetik Astro Awani, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran ‘sayang awok’ pada motosikal miliknya.

Difahamkan, suspek antara yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan dijalankan Bahagian Siasatan dan Pencegahan Trafik (BSPT) daerah Kuantan antara jam 1 hingga 5 pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata pihaknya turut meminta ibu bapa diluar sana supaya memantau anak-anak dari terjebak dengan aktiviti tidak sihat.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 108 (3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Kita pun ‘sayang awok jugok’ dan ibu bapa atau penjaga mohon pantau anak-anak agar tidak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat seperti merempit,” katanya.

Menurut Kamarulzaman lagi, sebanyak 66 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi tersebut dan kesalahan membabitkan nombor pendaftaran kenderaan antara paling tinggi iaitu sebanyak 19 notis.

SUMBER: Astro Awani