Selamba Minum Bir Di Pusat Kuarantin Covid-19, Netizen Sifatkan Tindakan Biadap

Sejak Sabtu lalu, tular video di media sosial sekumpulan individu yang meminum bir di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kota Kinabalu.

Video berdurasi lebih 10 saat itu memaparkan seorang lelaki di sebuah PKRC sedang berbual dengan individu lain sambil memegang tin bir dan turut kelihatan dua bekas berisi bir.

Susulan video tular itu, ramai yang meluahkan rasa kurang senang dan kesal serta menyifatkan tindakan itu sangat biadap.

Perkara itu turut mendapat perhatian Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat yang mengatakan tindakan itu tidak menghormati pengorbanan petugas barisan hadapan.

Lebih mengecewakan, perbuatan itu dilakukan di kawasan digunakan sebagai kemudahan kesihatan merawat pesakit Covid-19.

Adnan berkata tindakan tersebut boleh mengundang ketidakselesaan pesakit lain yang sedang dirawat dan mungkin boleh mencetuskan masalah lain sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal.

Dalam pada itu, kongres tersebut turut mendesak untuk melakukan siasatan ke atas mereka yang terlibat termasuk pihak yang membeli minuman keras berkenaan.

Isu tersebut turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang berang dengan sikap tidak bertanggungjawab individu terlibat.

Malah, ada yang mempersoalkan bagaimana mereka boleh membawa masuk minuman keras berkenaan di dalam pusat kuarantin serta berharap individu terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan menegaskan meminum arak tidak dibenarkan sama sekali di semua PKRC.

SUMBER: mStar & Harian Metro