Selangor, Kuala Lumpur & Putrajaya Bakal Mula PKPB 14 Oktober Ini

Menerusi perkongsian laman Telegram Majlis Keselamatan Negara (MKN), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di seluruh Selangor, Kuala Lumpur & Putrajaya berkuatkuasa 14 Oktober 2020 bermula jam 12:01 tengah malam.

BACA: 7 Bulan Menanti Suami Pulang, Jeritan Anak Panggil Papa Bakal Buat Air Mata Anda Berderai

Sementara itu menerusi laporan BH Online, PKPB akan dilaksanakan sehingga 27 Oktober ini berikutan peningkatan kes COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas mendengar nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, ia juga mengambil kira peningkatan dan penularan kes yang berlaku, termasuk di Klang dan Petaling, selain pertambahan jangkitan di Gombak serta daerah lain.

Katanya, berikutan penguatkuasaan PKPB itu, pergerakan keluar masuk atau merentas daerah adalah tidak dibenarkan.

Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka dikehendaki menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

“Hanya dua orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

“Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, TADIKA, TASKA, pusat tahfiz, taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup,” jelasnya melalui laporan portal berita tersebut.