Seminggu Tak Makan Nasi, Lelaki Ini Nak Jual TV RM100 Demi Sara Keluarga

Berat mata memandang, berat lagi bebanan yang memikul itulah gambaran kehidupan pasangan suami isteri ini yang terpaksa menjual televisyen semata-mata untuk membeli barangan keperluan dapur.

Mohd. Nasir Din, 38, yang tinggal di Kampung Teluk Teduri berkata dia tiada pilihan lain memandangkan riada sumber pendapatan sejak dua bulan lalu. Menurut Nasir, televisyen jenama Sharp berukuran 29 inci yang diberikan kakaknya itu ingin dijual pada harga RM100.

Walaupun hanya tinggal bersama isteri, Suhaida Mohd. Ghazali, 33, kerana masih belum dikurniakan anak, barangan makanan tetap perlu disediakan. Lebih sebak, pasangan itu pernah tidak makan nasi seminggu kerana tiada wang.

“Kami pernah tidak makan nasi kira-kira seminggu kerana tidak mempunyai duit untuk membeli beras dan terpaksa tunggu isteri saya yang bekerja kilang mendapat gaji hujung bulan,” katanya di sini.

Nasir yang sebelum ini bekerja di sebuah bengkel besi hilang punca pendapatan selepas pergelangan tangan kirinya patah akibat terjatuh ketika memasang bumbung sebuah rumah dua bulan lalu.

Nasir memberitahu dia juga perlu mencari wang RM2,600 untuk memasang besi di pergelangan tangan kirinya yang patah dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, dia kini membantu isterinya yang merupakan seorang OKU menjual kerepek dan ikan pekasam yang diambil daripada rakan-rakan kilangnya untuk mencari pendapatan tambahan.

“Isteri saya merupakan orang kurang upaya (OKU), mempunyai masalah pertuturan. Dia mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan,” katanya.

Jika kita rasakan kehidupan kita sudah, ada mereka yang jauh lebih susah. Pada mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada Mohd. Nasir dan Suhaida boleh menghubungi mereka di talian 010-8018540.

SUMBER: Utusan Malaysia