“Sentiasa Bersedekah, Memuliakan Ibu, Damailah Di Sana Wahai Suamiku”

Semalam, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita hero negara kita Allahyarham Dr Ali Noor Hassan dilaporkan meninggal dunia.

Hangat diperkatakan Dr Ali didakwa meninggal dunia kerana kelesuan ketika bekerja, perkara itu dinafikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, menerusi satu perkongsian di Facebook hari ini, isteri Allahyarham Dr Ali tampil berkongsikan kisah keperibadian suaminya yang terpuji ketika hayatnya.

Isterinya berkata, suaminya seorang yang suka bersedekah serta aktif dalam penglibatan bersama jemaah tabligh dan memeriksa pesakit percuma ketika Ijtimak Tabligh.

“Tidak berkira kerja dengan kawan dan dia antara yang suka ziarah sahabat serta saudara sakit. Ramai yang mesej Dr Ali antara orang pertama melawat apabila kawan kawan tak sihat,” katanya.

Lebih menyentuh hati, isterinya berkata ketika ibunya masih ada, Allahyarham seorang yang sentiasa memuliakan dan berbakti kepada ibu. Ketika ibunya didiagnos kanser paru-paru pada Ogos 2018, arwah sanggup mengambil cuti separuh gaji untuk menjaga ibunya.

“Setiap kali beli lauk untuk family (keluarga) mesti akan belikan lauk yang sama untuk arwah emak dia semasa hidup.

“Mak nak ke klinik atau rawatan memang dia akan usahakan cuti untuk berkhidmat kepada mak dia, Sehingga ke akhir hajat mak dia di IKN (Institut Kanser Negara), dia antara yang ajar mak kalimah syahadah,” katanya.

SUMBER: Harian Metro