Nampak ramai yang bersedih kerana tidak dapat pulang ke kampung berhari raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Memahami kesedihan nasib anak perantau yang tidak dapat pulang beraya, wanita ini mahu berkongsi rezeki untuk menceriakan Aidilfitri mereka. Idea yang dinamakan ‘projek rendang dan lemang’ itu datang daripada wanita bernama Rafiqah Umu Habibah.
Memetik mStar Online, Rafidah berkata dia tidak menyangka perkongsiannya di Twitter itu mendapat sambutan luar biasa.
Katanya lagi, projek itu sudah dimulakan sejak tahun lalu lagi ketika umat Islam merayakan Aidilfitri dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tahun lalu penghantaran dibuat sehingga ke Shah Alam dan Subang sebab masa tu tiada larangan rentas daerah. Jadi tahun ini memandangkan saya menetap di Selayang, terpaksa hadkan untuk mereka tinggal di Gombak sahaja.
“Jujurnya permintaan tahun lalu tak sebanyak tahun ini. Saya sendiri terkejut tengok ramai yang retweet dan dapat banyak sangat DM. Bila baca DM mereka ada yang raya seorang, ada yang raya dengan housemate, cuukup buatkan saya sedih.
Bagaimanapun, Rafidah berkata disebabkan permintaan tersebut banyak dia terpaksa menghadkan jumlah dan memohon maaf pada mereka yang tidak berkesempatan.
Kata Rafidah, rendang ayam akan dimasak sendiri olehnya manakala lemang akan dibeli menggunakan dana sendiri.
“Saya rasa seronok dapat melakukan sesuatu untuk menggembirakan orang lain. Dekat DM yang saya terima, mereka kata sebenarnya boleh saja beli sendiri.
“Tapi ia lebih bermakna dan sangat dihargai apabila ada yang sudi masakkan dan hantarkan,” katanya.
Menurut Rafidah buat masa ini dia terpaksa hadkan kepada 40 pek terlebih dahulu dan berharap apa yang dilakukannya itu dapat menggembirakan orang lain.