Siti Bainun Sudah Insaf, Peguam Rayu Hukuman Ringan Dikenakan

Kebenaran hari ini berpihak kepada adik Bella apabila pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down itu.

Memetik Sinar Harian, pihak pembelaan memohon kepada mahkamah agar hukuman ringan dikenakan ke atas Siti Bainun dengan alasan telah insaf daripada kesalahannya itu.

Peguam, Mohammad Farhan Maaruf berkata demikian ketika hujahan mitigasi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, dan meminta mahkamah mengambil kira permohonannya itu memandangkan ini merupakan kesalahan kali pertama.

“Saya rayu, mahkamah pertimbangkan kecederaan yang dialami oleh Bella, hanya melibatkan kedua belah tangan dan seluruh badan yang terlibat merupakan parut yang telah sembuh.

“Ini menunjukkan Siti Bainun bukan insan yang kejam dan dia cuba baik mungkin untuk menjaga Bella.

“Jika hukuman pemenjaraan dikenakan terhadapnya, ia akan menjejaskan kesihatannya,” kata peguam.

Peguam itu berkata lagi hukuman penjara boleh digantikan dengan hukuman denda maksimum, sebagaimana yang terkandung dalam undang-undang.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan 10 tahun dari tarikh sabitan dan bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan 12 tahun dari tarikh sabitan. Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak

SUMBER: Sinar Harian